Info Semasa

Perasmian Kedai Buku Jabatan Perkembangan Kurikulum




MENTERI PENDIDIKAN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong merasmikan kedai buku.


Rabu, 23 Oktober. - Bermula dari tahun 2011, Kedai Buku Jabatan Perkembangan Kurikulum (JPK) mulanya dibuka secara sementara pada setiap hujung tahun (Jualan Kembali Ke Sekolah) bertujuan untuk membantu masalah kekurangan buku-buku teks dan buku-buku kerja di pasaran tempatan.
Setelah mendapat respons aduan orang ramai dan pandangan positif daripada beberapa pihak bagi menangani masalah untuk mendapatkan buku-buku teks dan buku-buku kerja dengan memberikan maklumat yang betul, tepat dan terkini lalu pihak jabatan mengambil inisiatif untuk mengekalkan kedai buku berkenaan.
Sehubungan itu, tetamu kehormat majlis iaitu Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyempurnakan Majlis Perasmian Kedai Buku JPK di Bangunan Baru, Kementerian Pendidikan.
Dalam ucapan alu-aluan Pemangku Pengarah Perkembangan Kurikulum, Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi menjelaskan beberapa objektif mengenai pengekalan Kedai Buku JPK yang menyediakan meja maklumat untuk merespons apa jua mengenai status keberadaan buku-buku teks asas dan buku kerja asas di pasaran, di samping dapat memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai buku-buku sekolah yang digunakan bagi setiap sesi persekolahan.
Selain itu, pengekalan kedai buku berkenaan juga adalah untuk memberikan kemudahan untuk membuat 'cross-check' mengenai keberadaan dan kecukupan pembekalan buku-buku teks dan buku-buku kerja dan seterusnya pihak jabatan akan berhubung terus dengan pihak pembekal tempatan yang dilantik oleh penerbit-penerbit tertentu bagi mendapatkan status terkini mengenainya.
“Kedai Buku JPK juga boleh dijadikan sebagai Hub-Networking atau jaringan penghubung antara pembekal, penjual dan pelanggan bagi memastikan bekalan buku sentiasa mencukupi, di samping membarigakan kepada orang ramai tentang buku-buku dan bahan-bahan terbitan baru Jabatan Perkembangan Kurikulum khususnya dan Kementerian Pendidikan amnya,” ujarnya lagi.
Oleh yang demikian dengan terlaksananya inisiatif jabatan berkenaan untuk membuka Kedai Buku JPK itu sudah setentunya dapat menangani masalah kekurangan yang perlu diperbaiki, selain pihak jabatan juga turut mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan dari pelbagai pihak bertujuan untuk memperbaiki dan mengemaskinikan lagi kedai buku berkenaan.
Manakala untuk jangka masa terdekat, JPK melalui Unit Penerbitan sedang dalam proses menyiapkan kertas cadangan Skim Penulisan dan Penerbitan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran bagi menggalakkan para penulis tempatan menghasilkan penulisan akademik mereka dengan diberikan royaliti yang bersesuaian.
Adalah diharapkan melalui skim itu nanti akan dapat memperbanyakkan lagi bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran tempatan selaras dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan dalam mendukung pendidikan yang berkualiti.

Terdahulu sebelum Majlis Perasmian Kedai Buku JPK berlangsung, JPK mengadakan sesi taklimat dan muzakarah bersama pengurus-pengurus, toko-toko buku dan para pengedar buku tempatan dan seterusnya jabatan tersebut akan mengadakan lawatan, pemantauan dan pemeriksaan ke toko-toko buku tempatan bagi memastikan pembekalan buku-buku tersebut mencukupi dan dijual mengikut harga yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Ambil langkah pro aktif pastikan buku-buku teks mencukupi

PEMANGKU Pengarah Perkembangan Kurikulum Awang Haji Zulkifli bin Haji Muhammad Yusuf dalam Sidang Media menjelaskan mengenai status buku-buku teks asas dan buku kerja asas bagi kegunaan pelajar untuk tahun 2014
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Disember. - Bagi memberi maklumat terkini kepada orang ramai khususnya para ibu bapa dan penjaga pelajar mengenai status buku-buku teks asas dan buku-buku kerja asas bagi kegunaan pelajar bagi sesi musim persekolahan tahun 2014, Jabatan Perkembangan Kurikulum (JPK), petang tadi, mengadakan satu Sidang Media bertempat di Studio 1, Kementerian Pendidikan, di sini.
Sidang media berkenaan memperjelaskan lebih lanjut mengenai buku-buku tersebut dari peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah kerajaan termasuk sekolah Arab dan sekolah swasta.
Pemangku Pengarah Perkembangan Kurikulum, Awang Haji Zulkifli bin Haji Muhammad Yusuf berkata, JPK telah diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab menyedia dan menerbit bahan-bahan kurikulum seperti sukatan pelajaran, panduan guru, buku teks, buku kerja dan bahan bantu mengajar sama ada menerusi media cetak atau elektronik untuk kegunaan para pelajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah.
Sejak Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21) mula diperkenalkan pada tahun 2009, terangnya, JPK telah berjaya menerbitkan 158 judul buah buku teks asas dan buku-buku kerja asas sama ada secara usahasama di antara JPK dengan penerbit luar negara atau pembelian secara terus.
Penyediaan dan penerbitan buku-buku teks asas dan buku-buku kerja asas itu, jelasnya, adalah mengikut sukatan pelajaran yang disediakan oleh JPK yang mana buku-buku yang diterbitkan secara usahasama mencapai ‘standards’ dan kualiti yang sebanding dengan buku-buku terbitan luar negara.
“JPK telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam memastikan pembekalan buku-buku mencukupi bagi sesi musim persekolahan 2014 yang mana antara langkah-langkah yang dilaksanakan ialah mengadakan perjumpaan awal dengan penerbit-penerbit utama iaitu Marshall Cavendish International (Singapore) Private Limited dan Star Publishing (Singapore) Private Limited serta mengadakan perjumpaan awal dengan pembekal utama tempatan iaitu Bismi Trading Sendirian Berhad dan Booker International.
Selain itu JPK juga mengadakan sesi muzakarah bersama pengurus, pembekal, penjual dan pencetak buku-buku tempatan, di samping membuat lawatan ke kedai-kedai buku untuk memastikan kawalan harga buku-buku mengikut harga yang telah ditetapkan, bekalan buku-buku mencukupi dan tidak ada cetak rompak,” tambah Awang Haji Zulkifli.
Sementara itu JPK, katanya, juga menubuhkan Kedai Buku JPK terletak di lobi bangunan baru Kementerian Pendidikan untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai status buku-buku di samping membuat 'cross check' dan memastikan status bekalan buku-buku pasaran adalah betul dan menjual buku-buku yang diperlukan.
Awang Haji Zulkifli seterusnya menambah, hasil daripada lawatan dan pemantauan pegawai-pegawai JPK, hampir semua buku tersebut telah dipasarkan di kedai-kedai buku di keempat-empat daerah.
Beliau menyarankan jika sekiranya para ibu bapa dan penjaga pelajar mengalami kesukaran untuk memperolehi buku-buku di kedai-kedai buku, mereka boleh berhubung terus dengan pembekal utama iaitu Bismi Trading Sendirian Berhad di talian 2342029/2342030 atau Booker International di talian 8710328/2449092.
Pada Sidang Media berkenaan, Awang Haji Zulkifli turut menyarankan agar para pembekal, pengurus dan penjual buku-buku akan dapat melaksanakan usaha ke arah semangat perpaduan dan bekerjasama dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penjual dan pengedar buku-buku teks dan buku-buku kerja serta saling bantu-membantu bagi memenuhi keperluan pembekal oleh syarikat-syarikat yang telah berdaftar dengan JPK.
Beliau seterusnya menyarankan orang ramai supaya bersabar sekiranya mendapati buku-buku yang diperlukan tidak diperolehi di kedai-kedai buku dan dinasihatkan untuk menghubungi talian Hotline JPK semasa waktu pejabat pada talian 2384333 sambungan 1300/1305/1330.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar guru-guru, ibu bapa dan penjaga terus memberi galakan kepada para pelajar dan anak masing-masing supaya membaca bahan-bahan bacaan lain, selain daripada buku-buku teks yang dibekalkan dalam usaha untuk meneruskan budaya membaca di Negara Brunei Darussalam dapat dipertingkatkan ke arah sebuah masyarakat yang berilmu, berpengetahuan dan kemahiran tinggi untuk mencapai Wawasan 2035.
Bagi mengetahui senarai judul-judul buku yang diperakui oleh JPK, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang JPK iaitu www.jpk.edu.bn atau berhubung terus melalui talian Hotline 2384333 sambungan 1300/1305/1330.